Thursday 16 April 2009

Antara bidadari dan penghuni syurga

Wahai kakakku,
kenapakah lemah sungguh kaum hawa itu?
Asyik berteman tangis dan sendu sahaja?

Wahai adikku,
Bukan wanita itu lemah,
dek kerana tangis dan sendunya,
Tetapi, di situlah wahai adikku,
kekuatan yang bisa leburkan ego seorang lelaki,
Menjadi `izzah yang paling gah,
bahkan lebih gahnya, dari egonya seorang lelaki,
Kerana sendu rayunya,
Musa A.S selamat dari kekejaman Firaun
Duhai adikku,
Lembut wanita itu bukan lemah,
tetapi senjata

Namun wahai kakakku,
Wanita itu fitnah dunia

Pernahkah adikku dengar,
Pesanan Ilahi pada hambanya?
Wahai lelaki-lelaki yang beriman,
Tundukkanlah pandanganmu dan tutupkanlah auratmu,
Cuba adik nilai,
Pada siapa terlebih dahulu,
Allah dahulukan pesanannya?
Pada hamba yang bergelar Ar-Rijal,
Kerana andai si lelaki menjaga pandangannya,
Maka tidak mungkin terlihat akan wanita,
yang menjadi fitnah pada dirinya

Dan, tidaklah Allah lupakan pesanan buat wanita,
agar memelihara auratnya,
kerana di situlah kehormatannya

Bukan fitnah semata-mata,
jikalau Ar-Rijal dan An-Nisa' sama-sama,
mematuhi pesanan Ilahi itu,
Sesungguhnya wanita yang beriman,
yang solehah itu lebih baik,
dari ribuan lelaki yang soleh

Tapi kakakku,
Kenapa wanita itu menjadi peragaan?
Tidakkah mereka merasa malu?

Wahai adikku sayang,
Al-Haya' (sifat malu),
ada dalam setiap diri insan,
wujudnya seiring dengan nafas insani
Dan Al-Haya' itulah pakaian iman,
Pada diri wanita itu indah al-haya',
sebagai pembenteng diri,
Namun, bila mana al-haya' itu lebur,
Imannya runtuh.

Kenapa mereka merelakan diri menjadi peragaan?
Kerana mereka sebenarnya paranoid,
Merasakan diri belum cukup menarik,
Mereka sebenarnya yang kalah dari segi psikologi

Namun adikku,
Wanita solehah itu pasti melindung diri mereka,
dari perbuatan murahan itu

Wahai adikku,
1001 keindahan penciptaan wanita,
Pandai-pandailah dikau menilai,
antara permata dan debu-debu kilauan pasir

Wahai adikku,
Janganlah adik gusar,
Tatkala tiada lelaki yang hadir memetikmu,
Dan janganlah engkau sekali-kali merendahkan dirimu,
menggugurkan diri, menyembah tanah,
Sedangkan engkau sebenarnya telah Allah jadikan,
begitu tinggi martabatmu.

No comments:

Post a Comment